Bengang Parkir Sesuka Hati Punca Pemandu Treler Rempuh 15 Kereta

Sikap penyokong bola sepak tempatan yang meletakkan kereta sesuka hati menjadi punca seorang pemandu treler hilang sabar sehingga merempuh lebih 15 kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini pada malam hari Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis berkata, pemandu treler 14 tayar itu berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda minimum RM5,000 jika didapati bersalah dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku semasa pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Kedah selepas menghantar barang-barang runcit termasuk barang-barang makanan di Bukit Katil di sini.

"Lelaki itu yang mungkin hilang sabar setelah laluannya dihalang kereta-kereta yang diletakkan di bahu jalan bertindak merempuh dan menyeret kenderaan terbabit untuk melepasi jalan itu," katanya dipetik laporan Kosmo! hari ini.

Sementara itu, pegawai Perbadanan Stadium Melaka (PSM) berkata tidak ada alasan bagi penyokong bola sepak yang enggan meletakkan kenderaan di kawasan letak tempat kereta yang disediakan.

Pengerusi PSM Datuk Yusoff Mahadi berkata, kapasiti parkir kenderaan di Stadium Hang Jebat sahaja mampu memuatkan sehingga RM15,000 kenderaan, manakala terdapat tanah lapang berkeluasan 4.9 yang boleh menampung sehingga 3,000 kenderaan.

Sementara Kompleks Hang Sukan Hang Jebat pula boleh menampung sehingga 50,000 kenderaan pada satu masa, katanya.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat limpahan kenderaan sehingga ke tepi jalan Lebuh SPA terjadi akibat ekoran laluan masuk tersekat.

"Kemungkinan penyokong kedua-dua pasukan tidak mengetahui terdapat banyak tempat letak kereta di kawasan kompleks ini menyebabkan mereka membuat keputusan meletak kenderaan mereka di Lebuh SPA," katanya.

Malam itu, pasukan Johor Darul Ta’zim berjaya membenamkan Polis Diraja Malaysia dengan sepakan gol 2-0.
Previous Post Next Post

Contact Form