Najib Didesak Pujuk Penderma RM2.6 Bilion Tambah Kuota Haji

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memujuk kerajaan Arab Saudi untuk membuka ruang kepada Malaysia bagi meningkatkan kuota haji sehingga 50, 000 setiap tahun.

Menurut Rafizi, ia susulan daripada kenyataan Perdana Menteri yang mengakui dirinya mempunyai hubungan baik dengan keluarga Arab sehingga berjaya mendapat derma RM2.6 bilion sebelum ini.

Katanya, jumlah kuota terkini rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah haji hanyalah 0.1 peratus sahaja bersamaaan 30, 000 orang yang layak bagi tempoh setahun.

“Ini bermakna kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia adalah 30,000 orang setahun. Malah, sejak beberapa tahun lalu kuota haji Malaysia adalah sekitar 22,000 setahun. Pada angka ini dan jumlah bakal haji seramai 2.023 juta secara purata seorang bakal haji memang perlu menunggu diantara 40 hingga 70 tahun untuk menunaikan haji.

“Saya ingin cucuk Perdana Menteri, saya mengusulkan supaya Najib Razak merundingkan dengan kerajaan Saudi untuk meningkatkan kuota haji…untuk memendekkan tempoh menunggu giliran memandangkan beliau sangat rapat dengan kerajaan itu.

“Jika keluarga DiRaja Saudi boleh mendermakan RM2.6 bilion kepada beliau, saya yakin beliau begitu rapat dengan keluarga tersebut dan boleh mendapatkan pertambahan kuota haji bagi rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini sebagai menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir, semalam.

Jamil Khir semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa pendeposit Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun.

Katanya, pendeposit yang mengeluarkan simpanan mereka akibat percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini, akan secara automatik keluar daripada giliran menunaikan haji, jika mereka turut mengeluarkan deposit daftar haji.
Previous Post Next Post

Contact Form