Setiausaha Bahagian Salahguna Dana Kerajaan RM107 Juta

Seorang Setiausaha Bahagian sebuah kementerian berusia 56 tahun menjadi dalang satu sindiket menyalahguna dana kerajaan yang menyebabkan kerugian kira-kira RM107 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata, sindiket berkenaan dianggotai sembilan ahli terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 56 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini bermula sejak 2010, tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berlaku sejak beberapa tahun sebelum itu.

"Semua mereka ditahan di sekitar Lembah Klang semalam, dan kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini.

"Lapan yang ditahan adalah kontraktor penganjuran program, manakala pegawai kanan berkenaan bertindak mengarahkan pihak kewangan daripada sebuah agensi di bawah kementerian itu membuat bayaran kepada tidak kurang daripada 14 syarikat yang dikendalikan ahli sindiket ini bagi program yang diwujudkan walhal kerja tidak pernah dilaksanakan,"katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, nilai suapan yang diterima pegawai kanan berkenaan dianggarkan mencecah RM20 juta merangkumi rumah, kereta mewah, pembayaran insuran dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, kemudahan kad kredit 'suplementary' dan pengubahsuaian rumah.

Katanya, pegawai kanan ini juga hidup mewah sehingga mampu membeli jam tangan berjenama yang satunya berharga tidak kurang RM400,000; barang kemas yang ada bernilai tidak kurang RM600,000; set bilik tidur bernilai lebih RM300,000, sebanyak 40 beg tangan berjenama dan pakaian berjenama.


"Pegawai kanan berusia 56 tahun ini sudah berkhidmat di kementerian itu sejak 1998, dan dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Bahagian Kewangan kementerian berkenaan sejak lapan tahun lalu.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikutSeksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan kesalahan penggubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPHUAA),"katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form