Terik Panas Tidak Halang 5,000 Nyatakan Sokongan Buat Najib

Cuaca panas terik dengan suhu dianggar hampir 34 darjah Celcius tidak menghalang ribuan anggota Umno dan komponen Barisan Nasional (BN) berhimpun di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini hari ini untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka yang kebanyakannya memakai baju merah mula tiba seawal 7 pagi untuk menyertai Himpunan Solidariti itu dengan membawa sepanduk yang tertera ayat-ayat sokongan dan ikrar taat setia kepada Najib.

Antaranya “Kami respek PM kami”, “Kami ahli Umno berikrar taat setia menyokong penuh PM Najib” dan “Kami teguh bersamamu PM Najib sebagai pemimpin parti dan kerajaan”.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang hadir pada himpunan itu melahirkan rasa terharu dengan sokongan tidak berbelah-bahagi anggota Umno dan BN yang sanggup berbuat demikian walaupun dalam keadaan panas terik.

Katanya, keadaan itu membuktikan kepimpinan Najib sentiasa relevan dan diterima rakyat.

Menurutnya, himpunan itu penting untuk menunjukkan kepada Najib bahawa beliau tidak keseorangan dalam menghadapi serangan bertubi-tubi daripada pihak pembangkang.

“Kalau kita tidak tunjuk, kelihatan macam perdana menteri kita keseorangan walhal beliau sentiasa mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat dan saya berharap dengan sokongan yang ditunjukkan ini perdana menteri akan terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan beliau,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan di depan 5,000 penyokong pada Himpunan Solidariti PM bagi menyatakan sokongan kepada pentadbiran perdana menteri di Kuantan hari ini. ― Foto Bernama
Adnan berkata walaupun berhadapan dengan tomahan dan cemuhan daripada sesetengah pihak, Najib sentiasa bersabar dan berfikir secara mendalam sebelum membuat sebarang tindakan sekaligus menyerlahkan karismanya sebagai seorang pemimpin.

“Beliau banyak menggunakan fikiran daripada perasaan ... jadi setiap tindakan yang diambil oleh beliau adalah bersesuaian dan ini dapat dilihat menerusi tindakan memecat bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana ia dilakukan setelah dipertimbang dengan teliti,” katanya.

Adnan yakin dengan gaya kepimpinan tersebut ditambah dengan sokongan semua pihak, BN di bawah pimpinan Najib mampu memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, setiausaha MIC Pahang M Murugaiah berkata sokongan yang ditunjukkan oleh anggota parti komponen BN Pahang dalam himpunan itu jelas menujukkan kesetiaan tidak berbelah-bahagi anggota parti terhadap Najib.

“Walaupun dalam cuaca panas saya lihat semua yang hadir tidak berganjak untuk menunjukkan tanda sokongan kepada perdana menteri yang merupakan seorang penyabar, berwawasan serta prihatin terhadap nasib semua kaum,” katanya dan menurutnya lebih 1,000 anggota MIC hadir pada himpunan itu.

Ketua Gerakan cawangan Bera Wee Nam Keong berkata semangat tinggi yang dipamerkan pada himpunan itu menunjukkan parti komponen BN berdiri teguh di belakang Najib.

“Apabila berkumpul baharu kita nampak keupayaan dan kekuatan kita sesama anggota BN dalam menyokong perdana menteri dan berharap sokongan ini dapat diteruskan sebab kita tahu Najib adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dalam mentadbir negara,” katanya.

Ahli jawatankuasa Umno cawangan Pelak, Pekan, Fansurina Mohd Nor berkata sambutan yang diberikan kepada Najib pada hari ini adalah luar biasa dan positif.

“Himpunan ini adalah terjemahan sokongan kami kepada presiden parti yang selama ini telah banyak membela rakyat dan melakukan pembangunan untuk negara,” katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form