Yuran Tadika Di Lembah Klang Cecah RM9,000 Setahun!

Tadika swasta sekitar Lembah Klang didapati mengenakan caj makin tinggi, antara RM5,000 hingga RM9,000 setahun bagi seorang murid.

Kadar itu meliputi yuran pendaftaran setinggi antara RM1,500 hingga RM2,400, yuran bulanan, buku dan uniform.

Jumlahnya lebih RM3,000, tidak termasuk yuran bulanan berjumlah RM3,240 selama sembilan bulan. Yuran bulanan, paling murah antara RM300 hingga RM550, lapor Utusan Malaysia.

Caj tambahan dikenakan kepada ibu bapa yang memilih pakej penjagaan sepanjang hari, dari 7.30 pagi hingga 6 petang.

Caj tersembunyi juga dikenakan misalnya membuat lawatan, hari sukan, yuran projek kelas dan sukan akhir tahun.

“Cuba bayangkan berapa kos mesti ditanggung jika satu pasangan ibu bapa mempunyai dua atau tiga anak berusia antara empat hingga enam tahun yang kesemuanya perlu dihantar ke tadika,” akhbar itu dipetik.

Menurut akhbar itu lagi, ibu bapa tiada pilihan berikutan permohonan kemasukan anak mereka ke tadika atau prasekolah kerajaan ditolak.

Ini kerana jumlah pengambilan murid yang ditawarkan di tadika kerajaan amat terhad selain memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah.

Kos keseluruhan tadika kerajaan, menurut akhbar itu lagi, hanya RM115 yang dibayar pada hari pendaftaran.
Previous Post Next Post

Contact Form