(Video) Lelaki Berkopiah Kantoi Curi Beg Jemaah Tengah Solat

Pantang ada peluang mencuri, ketika jemaah solat di masjid, seseorang tetap tergamak mengambil harta orang lain.

Gelagat pencuri lelaki di Masjid Al-Siddiq, Iskandar Perdana di sini, ketika solat asar kelmarin berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), kata pengerusi masjid Abdul Rahim Basri.

"Daripada rakaman CCTV, kita dapati ada seorang lelaki yang berpakaian lengkap, berkopiah serta berkain pelikat seperti mahu bersolat.

"Namun, lelaki itu dilihat mengambil beg jemaah yang sedang solat dan menyebabkan seorang jemaah kerugian RM400," katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian hari ini.

Abdul Rahim berkata kecurian pernah berlaku di masjid tersebut tetapi ia melibatkan kecurian duit tabung masjid.

Tambahnya, pihak masjid mengambil serius kejadian tersebut termasuklah memasang CCTV, selain merancang meletakkan anggota Rela ketika solat Jumaat.

Menurut portal itu lagi, ketua polis Perak Tengah Supt Aziz Hasan berkata seorang jemaah kerugian RM400 apabila dompetnya diambil suspek.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuklah melihat rakaman CCTV masjid itu untuk mengesan suspek terlibat," katanya.

Previous Post Next Post

Contact Form