Atlet Bina Badan Wanita Didakwa Mencuri Di Pasar Raya

Seorang atlet bina badan wanita negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri 22 jenis barang bernilai RM789.73 di Supermarket Giant Kolombong, di Jalan Tuaran, Inanam, pada 14 September lalu.

Heng Shu Xia, 29, dari Penampang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mengikut keterangan kes, pada jam 5.43 petang pengadu membuat laporan polis menyatakan pada hari sama jam 12.30 tengah hari di Supermarket Giant Kolombong di Inanam, ketika bekerja pengadu ternampak tertuduh mengambil barang dan menyimpannya dalam dua kotak besar air mineral.

Selepas itu, tertuduh keluar dari premis tanpa membuat bayaran sebelum pengadu bersama rakan setugas menahannya dan memeriksa dua kotak berisi pelbagai jenis barang yang dianggarkan berjumlah RM789.73.

Antara barang itu ialah tiga keping ikan tenggiri, empat bungkus fusipim fish chips 500 gram, satu bungkus market garden potato wedges spicy seberat satu kilogram (kg), beras kashmir basmathi lima kg, tefal special frypan 26 sentimeter dan satu QBB Pure Ghee 1,600 gram.

Stephanie menetapkan pengurusan kes itu pada 12 Oktober dengan jaminan RM3,000 bersama dua penjamin tempatan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 10 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Azaman Hamat manakala tertuduh diwakili peguam Goldem Hamid.
Previous Post Next Post

Contact Form