Graduan Maut Dalam Perjalanan Ke Majlis Konvokesyen

Seorang graduan tidak sempat menggenggam segulung diploma pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) setelah ditemukan lemas apabila kereta dipandunya hilang sebelum menjunam ke dalam parit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi itu, mangsa, Nurul Azmina Alias, 21, terperangkap di tempat duduk pemandu setelah kereta Proton Perdana yang dipandunya bersendirian itu terbalik di Jalan Tebuk Sultan-Jalan Alang, Sungai Air Tawar.


Difahamkan Nurul Azmina yang menerima Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar dalam perjalanan dari sebuah homestay di Sungai Air Tawar ke politeknik itu bagi menghadiri sidang kedua konvokesyen PSIS.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa yang beralamat di Flat Sri Melaka, Cheras meninggal dunia akibat lemas dalam parit yang mempunyai kedalaman air setinggi dua meter.

“Orang awam yang berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan mayat dari dalam kereta berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azmi berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa polis ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat pegawai perubatan di hospital itu mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya.


Beliau memberitahu, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Salmah Abu Bakar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu suasana sayu menyelubungi Majlis Konvokesyen PSIS apabila surah al-Fatihah dibacakan kepada seorang penuntut mereka yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Ketika surah itu dibaca, majlis konvokesyen tersebut sepi seketika sebagai menghormati pemergian Nurul Azmina yang sepatutnya menerima diploma pagi tadi.

Difahamkan, keluarga mangsa tiba lebih awal bagi menghadiri konvokesyen di politeknik itu, namun tergamam sebaik dimaklumkan Nurul Azmina meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandunya terjatuh ke dalam parit.

Previous Post Next Post

Contact Form