Jangan Biarkan Thaqif Mati Sia-Sia

Kuala Lumpur - Sejak beberapa hari lepas, masyarakat heboh memperkatakan dalam media sosial berhubung kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada 26 April selepas mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolah tahfiznya.

Bila timbul isu sebegini yang menyentuh hati masyarakat, sebahagian besar komentar yang dilempar adalah bersifat 'pukul rata'. Secara umum masyarakat menyalahkan sistem sekolah tahfiz yang dikatakan lemah, tiada pemantauan dan ortodoks.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu melibatkan sekolah tahfiz semakin mendapat perhatian masyarakat. Ini bererti, ia juga adalah satu 'selling point' bagi akhbar-akhbar, portal media, stesen tv dan saluran-saluran radio.

SAMPAI BILA?

Tahun lepas heboh tentang isu pedofilia, isu itu senyap begitu sahaja. Selepas itu ada lagi macam-macam kes sampailah datang kes Thaqif.

Jangan lupa sejak berpuluh tahun imej tahfiz tidak pernah lekang daripada sekolah yang fasiliti buruk, pengabaian keselamatan, kerap terlibat dalam kebakaran, berterusan minta derma dan hanya jadi alat bila konglomerat hendak buat majlis berbuka puasa.

Jarang sekali dapat dengar kisah tahfiz yang boleh mandiri. Sebenarnya memang ada cuma tidak banyak. Kisah kejayaan mereka jarang mendapat tempat di hati para pembuat dasar pendidikan.

Ustaz-ustaz yang datang beri ceramah di masjid memang tidak akan lepas daripada skrip "Di belakang sana ada ana bawa beberapa barang, jualan untuk sumbangan rumah anak yatim XYZ dan sekolah tahfiz ABC."

Adakah ini salah? Secara moralnya, tidak. Tetapi dari konteks pengurusan bisnes (sekolah tahfiz adalah sebuah bisnes) ia salah.

JANGAN BERDIAM DIRI

Dari sudut pandangan penulis sebagai wartawan dan pengamal media, ada peluang yang pengusaha sekolah tahfiz boleh ambil dengan berlakunya kes besar seperti apa yang berlaku kepada adik Thaqif.

Peluang memberi penjelasan tentang standard pengurusan sekolah tahfiz di negara ini. Seseorang perlu bangun dan bercakap bagi pihak pengamal sekolah aliran agama Islam swasta. Sama ada persatuan atau jawatankuasa bertindak atau apa sahaja, yang penting perlu ada orang yang bercakap bagi pihak anda.

Buat sidang media, sesi penjelasan dan lagi bagus, buat sesi lawatan dan nampakkan keadaan sebenar di tahfiz.

Dalam kondisi masyarakat hari ini, kalau sesuatu pihak yang dituduh memilih untuk berdiam diri tentang sesuatu isu melibatkan dirinya, masyarakat akan mengambil isu yang dimainkan di media sebagai fakta, sebagai sebuah maklumat yang benar.

Maksudnya kalau para mudir berdiam sahaja dan asyik sibuk berzikir, masyarakat akan percaya ideologi bahawa 'sekolah agama/tahfiz adalah lubuk penderaan kanak-kanak, lubuk pedofilia, lubuk gay, lubuk segalanya yang buruk' sebagai sesuatu yang benar di mata mereka.

Bila ini berlaku, jangan salahkan masyarakat kalau mereka terus memandang rendah kepada institusi-institusi ini.

Usaha ini kena dibuat secara berterusan. Bersiri. Bukan setakat panggil satu sidang media dan ingat semua benda selesai dan kembali seperti asal.

PERHATIAN MENTERI

Ini juga peluang terbaik untuk persatuan ini dapatkan perhatian menteri. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sanggup turun padang sewaktu solat jenazah Thaqif. Ini menunjukkan isu ini sedang dekat di hati beliau.

Kalau para mudir masih hendak bersikap tidak mahu ambil peduli, mereka akan terlepas peluang keemasan ini sebab nanti isu lain naik, orang takkan pandang lagi isu ini.

Benda-benda seperti penjelasan kepada pihak media dan sesi penjelasan ini memang nampak remeh. Sesetengah orang anggap ia 'poyo' tapi benda inilah yang Cadbury buat waktu kes coklatnya dikatakan ada DNA khinzir dahulu.

Waktu kes itu berlaku, orang Islam sampai alergik tengok pembungkus Cadbury. Cuba tengok sekarang? Siap buat hantaran kahwin lagi.

Jangan diharapkan skeptikal masyarakat akan berubah dalam masa pendek. Cadbury ambil dua tahun untuk kembali diterima masyarakat Islam, sekolah tahfiz akan perlu masa lebih panjang.

Soalan penulis sekarang adalah, apakah ada organisasi yang menghimpunkan semua pemain industri sekolah agama swasta di bawah satu bumbung? Setakat pemerhatian penulis, tidak ada.

DASAR PENDIDIKAN TAHFIZ NEGARA

​​​​​​Jadi, mungkin sudah sampai masa untuk campur tangan kerajaan dalam menggerakkan usaha menubuhkan satu institusi yang bakal mengambil peranan ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah mengeluarkan arahan semua sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz akan didaftar di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Langkah ini adalah satu daripada dasar di bawah program Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan Mac lepasu.

Ia akan dilaksanakan setelah JAKIM selesai memuktamadkan beberapa perkara termasuk terma pendaftaran bagi sekolah-sekolah berkenaan.

DUA DARJAT

​​​​​​​Sekilas pandang sekolah-sekolah agama swasta yang ada di seluruh negara, boleh dilihat jurang perbezaan antara sekolah yang 'kaya' dan sekolah yang 'papa'. Ada yang sampai bangunan sekolah pun bagai nak roboh. Dalam masa sama ada juga yang mewah serba serbi.

Mungkin sudah sampai masa untuk para pengusaha yang sudah berjaya untuk melihat sekitar industri mereka, lihat jika ada apa-apa yang boleh dibantu untuk memajukan industri.

Sekolah agama harian yang dah "well established" seperti Al-Amin, Hira', Adni, Greenview dan sebagainya, mereka sudah ada sistem pengurusan yang baik. Ada yang dah bertahan lebih 20 tahun, jadi "they must have done somehing right over there".

Buatlah sesi perkongsian tentang ilmu pengurusan pentadbiran, pengurusan kewangan, ilmu 'fund raising', ilmu undang-undang pendidikan dan sebagainya dengan sekolah lain.

Hatta kalau hendak buat kelas 'Sifu Pengurusan Tahfiz' pun, silakanlah, cuma janganlah caj macam nak sembelih orang pula. Kalau sesama sendiri tidak membantu membangun industri, sampai bila-bila pun masalah tidak akan selesai.

Ini adalah peluang merombak seluruh industri pendidikan agama swasta di negara ini. Kalau peluang ini tidak diambil, ia akan terus berada dalam status quo dan dipandang hina sampai kiamat.

Sampai bila kita hendak dimomokkan dengan persepsi buruk sekolah agama, sedangkan agama itu sepatutnya elok, cantik, tinggi, dan perkasa.

Ataupun memang dalam dunia hari ini, agama itu memang alat membuat keuntungan bagi mereka yang kejar syurga dunia?

Semoga perginya adik Thaqif akan menjadi titik pemula mengubah nasib sistem pendidikan agama swasta di negara ini. Agar matinya tidak sia-sia.
Previous Post Next Post

Contact Form