Prihatin Nasib Pelajar, Cikgu Suraya Terima Anugerah

Johor Bahru - Seorang guru disiplin dari SMK Seri Kota Puteri menerima anugerah khas dari Jabatan Pendidikan negeri Johor di atas keprihatinannya mengubah hidup seorang pelajar berusia 18 tahun yang pernah 'menginap' di pusat snuker.

Suraya Abdul Rahim, 38, menerima anugerah berkenaan atas usahanya membantu Farah Marcella Bandi yang beberapa kali digantung sekolah, sehingga berjaya mendapat keputusan 6A, 1B+ dan 1C+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Farah sering ponteng kelas dan tidak hadir peperiksaan sejak masuk ke sekolah itu ketika Tingkatan 3.

Apabila Farah tidak muncul pada peperiksaan percubaan SPM, Suraya memutuskan untuk pergi ke rumahnya.

"Ketika itulah saya mendapati dia tinggal di sebuah bilik kecil yang disewa bersama ibu dan lima adik-beradik.

"Sebelum ini, mereka 'berteduh' dan tidur di bawah kaunter juruwang di pusat snuker tempat ibunya bekerja," kata Suraya ketika ditemui selepas majlis anugerah itu di sini, Isnin.

Walaupun mendapat bantahan daripada rakan sejawat dan kawan yang lain, Suraya tetap membawa Farah ke rumahnya bagi memberikan persekitaran yang lebih kondusif sebagai persediaan untuk pelajar berkenaan mengambil SPM.

Beliau melakukan demikian kerana melihat potensi yang ada pada Farah.

Dalam tempoh dua bulan, Suraya memantau aktiviti Farah, memastikan beliau pergi ke sekolah, menyiapkan kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran.

"Alhamdulillah semua usahanya membuahkan hasil. Apabila mendapat keputusan peperiksaan, kami saling berpelukan dan menangis kegembiraan.

"Saya gembira kerana saya tidak pernah berputus asa dengan dirinya," katanya.

"Sayang sekali jika dirinya dibiarkan kerana walaupun berdepan banyak kesusahan, dia sangat bijak, sopan dan tidak pernah bercakap buruk mengenai ibunya," kata Suraya, yang turut mengambil Farah sebagai anak angkatnya.

Suraya telah mengajar selama 13 tahun dan mempunyai empat anak sendiri, kesemuanya perempuan.

Beliau sering menasihatkan anak-anaknya supaya mencontohi Farah, yang telah membuktikan segalanya mampu dicapai dengan usaha dan pemikiran yang betul.

Farah, yang kini masih tinggal dengannya telah menerima tawaran biasiswa penuh daripada Kementerian Pendidikan dan beberapa universiti swasta dan kini sedang membuat pertimbangan.

Ketika nasib Farah mula diketengahkan dan kisahnya menjadi tular, beliau menerima banyak perhatian.

Beliau mula bekerja pada usia 14 tahun untuk membantu keluarganya, selepas ditinggalkan bapanya beberapa tahun yang lalu.

Apabila Farah berada di Tingkatan 2, beliau membantu rakannya berniaga di pasar malam di sini.
Previous Post Next Post

Contact Form