(Video) Mohamad Thaqif Selamat Dikebumikan

Jenazah pelajar madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal dunia petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping Timur di sini tengah malam tadi.

Jenazah Mohamad Thaqif tiba di kediaman datuknya, Ahmad Motai, 66, di FELDA Bukit Aping Timur pada jam 11.40 sebelum disembahyangkan di rumah.


Selesai solat, jenazah terus dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 12 tengah malam tadi dan selamat dikebumikan pada jam 12.37 tengah malam.

Ahmad berkata, beliau sedih dengan pemergian cucunya yang amat meminati bidang agama. "Mohamad Thaqif minat dengan agama dan bercita-cita mahu menjadi tahfiz.

"Arwah dulu memang bersekolah agama tetapi berpindah ke asrama ini (madrasah) supaya boleh belajar agama lebih mendalam dan fokus," katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, jenazah dikafankan dan disembahyangkan di dalam bilik khas di Rumah Mayat Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sebelum dibawa keluar dari perkarangan hospital pada jam 10.50 malam tadi.

Solat jenazah diimamkan sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang tiba pada jam 9 malam bagi mewakili Perdana Menteri melawat dan menziarahi jenazah Mohamad Thaqif.


Selesai solat yang turut disertai ahli keluarga terdekat, jenazah Mohamad Thaqif dibawa masuk ke van jenazah sebelum dibawa ke rumah keluarganya di FELDA Bukit Aping Timur di Kota Tinggi bagi tujuan pengebumian di sana.

Sebanyak dua kereta peronda polis turut mengiringi kenderaan jenazah sepanjang perjalanan itu sehingga ke Kota Tinggi. Mohamad Thaqif meninggal dunia ketika mendapat rawatan di HSI pada jam 2.05 petang semalam.

Previous Post Next Post

Contact Form