Pekerja Baiki ATM 'Ditangkap' Kerana Disangka Pencuri

Sungai Petani - Kehadiran dua lelaki dengan lori di hadapan sebuah bank di Jalan Kampung Baru, di sini, awal pagi tadi mencetus prasangka orang ramai, pencuri menceroboh premis itu.

Orang ramai yang melihat kehadiran dua lelaki itu jam 5.45 pagi bersama dua mesin juruwang automatik (ATM), menghubungi polis, sebelum dua kereta peronda dikejarkan ke lokasi.

Berita kehadiran dua lelaki berkenaan cepat tersebar di laman sosial, sehingga orang ramai menyangka berlaku rompakan di bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisoner Md Zukir Md Isa, ketika dihubungi menafikan maklumat yang tersebar mengenai rompakan atau samun di premis berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua kereta peronda bergegas ke bank itu selepas menerima maklumat dan sebaik tiba, sebuah lori dilihat diletakkan di hadapan pintu bank dengan dua lelaki berada di dalam premis bersama dua mesin ATM.


"Hasil pemeriksaan kedua-dua lelaki itu mendakwa membuat kerja menukar mesin ATM di bank terbabit dan mereka turut menunjukkan dokumen dari bank sebagai bukti.

"Disebabkan kejadian awal pagi, polis tidak dapat membuat semakan dengan pihak bank dan kedua-dua lelaki itu ditahan untuk semakan lanjut," katanya.

Md Zukir berkata, pihak bank terbabit yang dihubungi mengesahkan ada kerja menukar mesin ATM di premis itu, tetapi ia sepatutnya dijalankan jam 9 pagi ini.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu kemudian dibebaskan susulan pengesahan itu.
Previous Post Next Post

Contact Form