FGV: Jawatankuasa Eksekutif Ambil Alih Tugas Zakaria

DARI kiri: Azman Ahmad, Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim dan Datuk Dr Omar Salim.
Kuala Lumpur - Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah merangkumi dua pengarah FGV dan ketua Kluster Logistik untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, dua pengarah berkenaan adalah Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim yang akan dibantu Ketua Kluster Logistik FGV, Azman Ahmad.

Keputusan itu dibuat selepas FGV mengumumkan Presiden Kumpulan/CEO Datuk Zakaria Arshad serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha dipaksa untuk bercuti serta merta berhubung siasatan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products (DOP), sebuah anak syarikat FGV.

Susulan arahan itu juga FGV berkata, syarikat melantik Pengawal Kewangan Kumpulan Sektor Perladangan, Aznur Kama Azmir sebagai CFO Interim Kumpulan. Mengikut syarikat itu, urusan perniagaan syarikat akan berterusan seperti biasa.

Harga saham FGV di Bursa Malaysia susut 3.5 peratus susulan konflik pengurusan tertinggi syarikat itu pagi tadi.

FGV yang muncul antara 10 saham aktif pada penutupan sesi pagi, turun enam sen kepada RM1.66 dengan 14.29 juta saham diniagakan.
Previous Post Next Post

Contact Form