(Video) Dua Peragut Patah Kaki Dilanggar Kereta Rakan Mangsa

Dua penjenayah patah kaki selepas merempuh sebuah kereta ketika cuba melarikan diri sebaik meragut seorang gadis berusia 19 tahun di hentian bas Jalan Kuari, Cheras, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa yang sedang menunggu rakannya di hentian bas didatangi dua lelaki yang masing-masing berusia 23 dan 18 tahun dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, lelaki itu meragut beg tangan mangsa menyebabkan gadis itu segera menghubungi rakannya yang dalam perjalanan menjemputnya di lokasi kejadian.

"Suspek kemudian merempuh kereta rakan mangsa yang kebetulan tiba di hentian bas itu. Mereka terjatuh di bahu jalan selepas merempuh Kia Forte itu.

"Suspek mengalami kecederaan di muka, badan dan patah kaki. Justeru, polis menahan mereka dan membawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati motosikal yang digunakan suspek adalah dicuri dan mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Previous Post Next Post

Contact Form