Sufian Suhaimi Hantar Rombongan Merisik Elfira Loy

Kuala Lumpur - Penyanyi Sufian Suhaimi mengaku keluarganya merisik teman akrabnya yang juga pelakon, Elfira Loy, di kediaman gadis terbabit di Cheras, pagi tadi.

Kedua-dua artis itu turut berkongsi sedikit bayangan majlis berkenaan menerusi rakaman langsung di Insta Story.

Majlis merisik dengan pemberian cincin tanda itu juga sebagai simbolik kepada hubungan yang terjalin di antara mereka, yang mula akrab kira kira empat bulan lalu.

"Tiada apa yang nak saya sembunyikan dengan apa yang terjadi pada hari ini. Ia benda baik. Itu saja yang saya boleh kongsi kerana tiada perbincangan lanjut untuk majlis seterusnya (kahwin)," kata penyanyi yang terkenal menerusi lagu Terakhir itu.

Sufian berkata, beliau cuma mengharapkan pengakhiran yang baik dalam hubungannya dengan Elfira.

"Rasanya memang semua sudah tahu kami memang rapat. Lagipun kami bukan budak sekolah untuk melabelkan hubungan ini sebagai kekasih atau sebaliknya. Masing-masing sudah berada dalam fasa yang menyamankan kerana saling memahami.

"Saya sendiri banyak mendapat nasihat daripadanya yang lebih berpengalaman di arena seni. Kami juga masing-masing menyokong dari aspek emosi.

"Tiada apa yang nak disembunyikan antara kami. Harap hubungan kami akan menemui penamat yang baik. Harap semua juga dapat mendoakan yang baik," katanya.

Sementara itu, Elfira juga percaya majlis merisik yang berlangsung sebagai tanda kesungguhan Sufian untuk membawa hubungan mereka ke fasa serius.

"Ya, memang selain beraya, turut diadakan majlis merisik. Saya percaya apa yang terjadi ini sebagai memberi tahu isyarat kedudukan sebenar kami. Cuma fasa lanjut itu belum dibincangkan lagi.

"Saya menyenanginya dan selama ini, apa yang kami belajar, komunikasi itu penting dan menjadi teras hubungan kami," katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form