'Ini kemenangan semua ahli Umno' - Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membuka pintu kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin untuk bersama-sama pimpinan baharu parti dalam menterjemahkan pembaharuan UMNO.

Katanya, kedua-dua pencabarnya yang tewas dalam perebutan jawatan Presiden UMNO, tetap diperlukan dalam mengembalikan semula semangat dan perjuangan parti.

"Tidak ada yang kalah dalam proses ini. Tengku Razaleigh dan Khairy adalah pemimpin yang diiktiraf sumbangan mereka dan tetap diperlukan dalam meniupkan semula roh baharu UMNO.

"Pelawaan saya terus terbuka untuk mereka bersama-sama kepimpinan baharu bagi menterjemahkan pembaharuan UMNO," katanya dalam satu kenyataan, tengah malam ini.

Ahmad Zahid yang sebelum ini menggalas tugas Naib Presiden dan menjalankan tugas Presiden UMNO, berkata pemilihan parti yang dijalankan secara demokratik itu menjadi titik permulaan kepada pembaharuan UMNO.

"Sesungguhnya pemilihan yang lancar ini adalah manifestasi ahli UMNO yang kasihkan parti serta mahu ia terus bangkit untuk relevan dalam pentas politik tanah air. Kita sudah bergerak merakyatkan UMNO.

"Inilah proses demokrasi yang dituntut oleh semua ahli, dan kita berjaya mengharunginya. Ini bukan kemenangan individu tetapi kemenangan kita semua, kemenangan UMNO dan ahli parti.

"Pemilihan terbuka ini memaparkan UMNO sudah melalui satu proses bersejarah untuk memilih semua jawatan di pelbagai peringkat termasuk di cawangan dan bahagian," katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan komitmen untuk menjulang kebebasan dalam pemilihan parti itu buat selama-lamanya, selain mahu semua ahli parti merapatkan barisan serta berusaha menjadikan UMNO sebagai parti yang membela kepentingan rakyat.

Beliau percaya, pemilihan bersejarah itu adalah simbol penyatuan ahli parti keramat Melayu dan mahu mereka terus bergerak seiring dalam pembaharuan UMNO.

"Saya akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi secepat mungkin untuk membincangkan pendekatan yang diambil dalam manifesto semua calon presiden," katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form