Pian Cecupak meninggal dunia

PELAWAK terkenal Pian Cecupak meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kira-kira pukul 8 malam, Rabu di kediamannya.

Menurut adik kepada Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Raman iaitu Hasenah, Allahyarham ditemui terbaring dalam bilik air oleh ibunya.

Menurut Hasenah, arwah sememangnya mempunyai masalah jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan sahaja.

"Mak jumpa arwah dah terbaring dalam bilik air sekitar pukul 8 malam tadi. Bawa ke hospital dan dapat pengesahan doktor pada 10.30 malam.

"Kemungkinan besar, dia meninggal dunia akibat serangan jantung. Sejak dia ada masalah jantung pada 2018 sehingga kini tiada buat sebarang rawatan.

"Arwah hanya makan ubat saja. Sejak kebelakangan ini, kesihatan arwah memang agak merosot. Dia selalu juga mengadu sakit dada,” kata Hasenah kepada mStar.

Sebelum ini, Pian pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) seawal 3 pagi pada 17 Oktober 2018 kerana sesak nafas.

Doktor kemudiannya mengesahkan dia mengalami serangan jantung dan diletakkan di Wad Pemulihan Jantung (CRW).

Susulan itu pelawak berusia 52 tahun itu perlu membuat rawatan angiogram yang kos perubatannya ialah RM5,000.

Dalam pada itu, Hasenah memberitahu jenazah kini berada di rumah ibu mereka yang terletak di Taman Dato' Senu, Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian.

"Jenazah akan diuruskan di surau berdekatan rumah. Insya-Allah urusan kebumian akan dilakukan pada pagi esok. Tak pasti lagi kebumi di mana," ujarnya.

Pian lahir ke dalam dunia hiburan menerusi rancangan realiti TV popular, Sinaran Pasport Kegemilangan sebelum menyertai kumpulan lawak Cecupak.

Previous Post Next Post

Contact Form