Allahyarham Hassan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Cyberjaya, pada jam 11 malam tadi.
Berkongsi khabar duka itu, Lana atau nama sebenar, Mazlina Hasan Nodin, 42, berkata, dia berada di Singapura untuk menghadiri acara, ketika arwah bapanya pergi.
"Sebaik mendapat khabar sedih itu, saya bergegas pulang ke hotel untuk mengemas pakaian.
"Disebabkan sudah lewat malam dan tiada penerbangan ke Kuala Lumpur, saya terpaksa menyewa limosin pulang ke Cyberjaya.
"Saya pulang berdua bersama anak. Suami tidak dapat ikut kerana perlu uruskan hal di Singapura.
"Bapa memang sudah lama menghidap kencing manis iaitu sejak enam tahun lalu," katanya kepada BH Online.
Allahyarham Hassan meninggalkan seorang balu, empat anak dan lapan cucu.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Hassan disolatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Cyberjaya.
Jenazah kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi', Cyber 10, Cyberjaya, selepas Zuhur, hari ini.Lana berkata, arwah bakal menyambut hari jadi ke-71 pada 3 Oktober depan.
"Kami adik-beradik merancang membawa bapa bersiar-siar. Kebetulan, arwah baru sahaja menggunakan kerusi roda.
"Nampaknya, impian kami tinggal kenangan kerana arwah terlebih dahulu pergi menyahut seruan Ilahi," katanya.
Lana bersyukur kerana arwah bapanya pergi dalam keadaan tenang dan dipermudahkan.
"Arwah pergi sangat mudah. Dengan sekali hembusan nafas, arwah terus pejamkan mata dan menutup mulutnya.
"Arwah berkulit sawo matang. Tetapi apabila meninggal dunia, ramai terkejut kerana wajahnya jadi putih," katanya.
Berita pemergian bapanya itu dikongsi Lana di Instagram (IG), kira-kira dua jam lalu.
Hantaran itu turut menarik perhatian pengikut dan rakan selebriti.
Antara selebriti yang mengucapkan takziah adalah Datuk Aznil Nawawi, Zarina Zainuddin, Anne Ngasri, Sharifah Shahira, Haiza, Datuk Ziela Jalil dan ramai lagi.