Bapa maut dalam perjalanan hantar anak ke tadika

TANJUNG MALIM - Seorang bapa maut selepas motosikal ditunggang ketika dalam perjalanan menghantar anak ke tadika terbabit kemalangan di Kilometer 122 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Muhammad Asri Shahrul Nizam, 26, beralamat Kampung Ketoyong, Tanjung Malim yang dalam perjalanan menghantar anak perempuan ke tadika disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian kemalangan terbabit kira-kira jam 7.12 pagi.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal Suzuki dan kereta Proton Persona.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku membabitkan kereta dipandu seorang guru wanita berumur 44 tahun menghala ke Slim River.

"Pemandu kereta dipercayai mengubah haluan dari kiri ke lorong kanan sebelum motosikal ditunggang mangsa yang dari arah Tanjung Malim melanggar bahagian belakang kanan kereta terbabit," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hasni berkata, akibat kejadian itu mangsa bersama anak perempuan terjatuh di atas jalan raya.

"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Previous Post Next Post

Contact Form