Begitu kata Nurliyana Abdul, 28, isteri Allahyarham Lans Koperal Mohd Azwan Shaluzi yang maut bersama pegawainya dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang dekat Sabak Bernam, kelmarin.
Nurliyana berkata, arwah suaminya itu mahu memakan masakan kari terung yang dimasaknya.
"Saya pelik kerana itu bukan makanan kegemarannya, sebab saya sangkakan dia akan pulang ke rumah pada hari ini (semalam), tetapi dia menghubungi saya dan memaklumkan akan pulang semalam (kelmarin) sebelum kemalangan berlaku.
"Ketika menghubungi saya, dia (arwah) tidak mengadu penat atau sebagainya, cuma nak makan masakan saya dan mahu saya masak telur bersama ikan masin," katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, arwah yang bertugas sebagai pemandu sentiasa komited dalam kerjaya dan tidak pernah mempunyai sebarang masalah."Dia memang sentiasa kerja di luar, kadang-kadang dua hari, itu sudah biasa dan dia tidak pernah mengadu mengenai kerja yang dilakukan.
"Saya bersama anak berusia enam tahun reda dengan pemergian arwah," katanya.
Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Paloh 3, Gua Musang selepas selesai proses bedah siasat.
Kelmarin, dua lelaki masing-masing pegawai dan anggota tentera yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan maut selepas kereta Proton Persona dinaiki merempuh belakang sebuah lori kira-kira jam 3.20 petang.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berpangkat Leftenan Kolonel dan Lans Koperal yang berkhidmat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson datang dari arah Lumut, Perak.