KUALA LUMPUR - Ibu Mawi, Ramlah Sarlan, 73, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, kira-kira jam 8 malam tadi.
Pengurus penyanyi itu, Abdul Mutalib Md Saad berkata, arwah yang berdepan komplikasi beberapa penyakit, dimasukkan ke hospital sejak Syawal kelima sebelum dibenarkan pulang, semalam.
"Kesihatan arwah memang tidak menentu sejak kebelakangan ini disebabkan faktor usia dan komplikasi penyakit.
"Saya dimaklumkan, semalam, arwah yang meminta dibawa pulang ke rumah dari hospital.
"Sejak hari raya, Mawi dan adik-beradiknya lebih banyak menemani ibu mereka terutama selepas dimasukkan ke hospital.
"Hanya pada Ahad lalu Mawi kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambung tugasan. Sebaik dimaklumkan mengenai keadaan arwah, Mawi bergegas pulang," katanya kepada BH Online.
Sementara itu, isteri Mawi, Nora'Asikin Rahmat atau Ekin memberitahu, mereka sekeluarga nampak semangat ditunjukkan arwah walaupun dalam keadaan sakit.
"Innalillahiwainnailaihirojiun.. Buat ibu mentua saya, Ramlah Sarlan yang kembali ke Rahmatullah, Maghrib (malam) tadi. Al Fatihah.
"Walaupun keadaan mak lemah, tapi mak cekal dan kuat. Tak pernah dengar dia merungut... Betapa hebatnya mak. Sudah tiba masanya untuk mak berehat," katanya menerusi entri di Instagram (IG).
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, pada jam 10 pagi ini.
Pada 2006, Mawi yang pernah mencetuskan fenomena 'Tsumawi' selepas menjuarai musim ketiga Akademi Fantasia (AF), kehilangan ayah, Ani Ahmad, 66, akibat masalah jantung.