Penuntut UniSZA maut kemalangan dalam kawasan kampus

KUALA NERUS - Penuntut Universiti Sultan Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan, malam ini.

Difahamkan, kemalangan dalam kawasan universiti berkenaan berlaku ketika masing-masing dalam perjalanan ke Majlis Perasmian Festival Kokurikulum di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZa, yang bermula 8 malam.

Mangsa, Wan Muhammad Azhar Izzuddin W Abdul Razak, 21, yang menunggang Honda EX5 beralamat di Kondo Rakyat Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa, Mohd Shaznur Alif Ramli dan Azhar Zaidi, masing-masing berusia 23 tahun parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, untuk rawatan lanjut.

Sementara, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat.

Susulan kejadian itu Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga UniSZA mengucapkan takziah menerusi bekasungkawa yang dimuat naik dalam Facebook universiti berkenaan.

"Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham Wan Muhammad Azhar Izzuddin W Abdul Razak (Pelajar ISM Pengajian Islam (Dakwah) Dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA) yang sudah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman," katanya.

Menurut sumber, susulan kejadian, Majlis Perasmian Festival Kokurikulum ditunda bagi menghormati pemergian Allahyarham.

Previous Post Next Post

Contact Form