'Terima kasih Allah beri peluang 24 tahun hidup bersama mereka'

KAMPAR: "Macam mana sekali pun, saya perlu reda dengan pemergian mereka, semoga syurga untuk arwah isteri dan empat anak saya. Terima kasih Allah kerana beri tempoh 24 tahun hidup bersama mereka," kata Nasaruddin Abu Bakar, 53.

Nasaruddin adalah suami kepada Azriyani Abdul Latif, 45; yang maut bersama empat anak mereka dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Selain Azriyani, turut maut dalam nahas itu adalah anak sulung mereka, Muhammad Azib Nasaruddin, 23; anak keenam iaitu Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8; anak ketujuh iaitu Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7; dan anak bongsu mereka iaitu Ahmad Uwais Al Qorni Nasaruddin, 5.

Bapa lapan anak itu berkata, tiada lain yang dapat diharapkan susulan pemergian isteri dan empat anak serentak melainkan berazam untuk terus memberi atau menggalas tugas sebagai bapa, sekali gus sebagai ibu dengan lebih sempurna kepada empat lagi anaknya yang masih ada.

Nasaruddin yang bekerja dengan sebuah syarikat penyelenggaraan infrastruktur di lebuh raya di Bertam, Pulau Pinang, sebelum ini hanya pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar pada setiap hujung minggu.

"Akibat tuntutan tugas, saya balik ke rumah hanya setiap hujung minggu antara Jumaat hingga Ahad. Saya dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa keluarga pada kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima panggilan anggota polis yang bertugas di sini.

"Saya reda kehilangan isteri dan empat anak serentak, saya perlu terima hakikat pilu ini. Selepas ini saya berazam meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna bersama empat lagi anak yang ada, Insya-Allah," katanya yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita di perkarangan rumah mayat Hospital Kampar, di sini, hari ini.

Nasaruddin mengakui beliau dan isteri menekankan pendidikan agama kepada anak mereka apabila sebilangan besar anaknya dihantar mengikuti pendidikan di sekolah agama.

Beliau berkata, jenazah isteri dan empat anaknya disolatkan di Masjid Al-Hadhari, Padang Rengas dan disemadikan dalam satu liang di tanah perkuburan berhampiran masjid berkenaan.

Selain suami, Azriyani turut meninggalkan anak keempat, Ahmad Danish Basyir; 16; anak keduanya iaitu Ahmad Hazim Zuhdi Nasaruddin, 21; anak ketiganya iaitu Muhammad Ilham, 20; serta anak kelimanya, Siti Nur Khadijah ,14.

Nahas kira-kira jam 2.27 pagi tadi yang mengorbankan lima beranak itu terjadi apabila kereta Proton Saga dinaiki mereka yang dipandu Muhammad Azib melanggar belakang sebuah lori muatan tanah yang dibawa perlahan di lorong kiri jalan kerana jalan mendaki di kawasan berbukit.

Previous Post Next Post

Contact Form