(Video) Kes Aminulrasyid: 'Saya Tidak Akan Mohon Maaf' - KPN

Ketua polis negara tidak mahu memohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis pada 2010, walau pihak berkuasa itu didapati cuai dalam kes itu.

Tan Sri Khalid Abu Bakar juga berkata beliau tidak mahu melayan desakan agar beliau, waktu itu ketua polis Selangor, bertanggungjawab atas kematian tersebut setelah keluarga Aminulrasyid memenangi saman RM414,800 semalam.

“Kenapa perlu saya meminta maaf? Saya tidak akan mohon maaf,” katanya kepada media selepas sambutan ke-209 ulang tahun Hari Polis di sini.

“Semua mahu desak saya letak jawatan. Tetapi mereka bukannya bos saya.”

Beliau mengulas kenyataan pemimpin pembangkang dan aktivis NGO yang mahu beliau bertanggungjawab atas insiden tersebut, termasuk sidang akhbarnya yang mengelirukan.

Koperal Jenain Subi melepaskan tembakan ke arah kereta yang dinaiki remaja itu di Jalan Tarian 11/2 di Shah Alam pada pagi 26 April 2010.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam penghakimannya menyebut Khalid “memberikan sidang akhbar bertujuan untuk cuba menutup kesalahan dilakukan oleh Jenain”.

Dalam saman itu, ibu allahyarham Norsiah Mohammad dan kakak sulungnya Nor Azura menamakan Jenain, ketua polis daerah Shah Alam, Khalid (sebagai ketua polis negeri), ketua polis negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Previous Post Next Post

Contact Form