Nur Sabrina Mat Rowi, 20, disahkan meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Taiping, 1.15 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha ditunggang mangsa cuba mengelak seekor haiwan dipercayai lembu, namun gagal lalu melanggar haiwan itu.
"Seekor haiwan dipercayai lembu secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak haiwan itu lalu terbabas ke tepi jalan selepas melanggarnya.
"Mangsa yang parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia Jumaat lalu (semalam)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Changkat Perah, Taiping, dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Kamunting menghala Batu Kurau.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa Jamilah Mohd Ramli, 51, tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang tidak banyak cakap berbanding kebiasaannya sebagai petanda akan pergi buat selama-lamanya. "Dua tiga hari sebelum kemalangan itu, dia kelihatan diam dan tak banyak bercakap walaupun pada asalnya adalah seorang yang periang dan peramah," katanya. Jamilah berkata, pemergian anak keempat dari lima beradik itu sangat dirasainya memandangkan sumber rezeki mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan Nur Sabrina sebagai operator sebuah kilang di Kamunting. Dia menyifatkan Nur Sabrina sebagai anak yang baik dan mesra dengan semua orang. "Kami agak ralat kerana kes kemalangan yang berpunca daripada lembu liar melintas di kawasan ini seakan-akan tidak pernah selesai. "Saya reda atas kehilangannya ini walaupun sukar untuk menyatakan sama ada saya dapat memaafkan pemilik lembu terbabit atau sebaliknya," katanya.