Tanah Merah: "Ayah sempat membawa balik laksa kepada ibu yang menghidap angin ahmar sebelum dia kembali ke kedai untuk bersarapan," kata Nurbalaili Zakaria, 30.
Nurbalaili, anak bongsu kepada Zakaria Seman, 77, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Batu Tiga, Kampung Belimbing di sini, pagi hari ini.
Menurutnya, dia yang sedang berada di rumah menerima panggilan telefon daripada seorang jiran memberitahu bahawa bapanya terbabit dalam kemalangan.
"Tanpa membuang masa, saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan seluruh tubuh berasa longlai melihat sekujur tubuh ayah yang terbaring kaku sudah tidak bernyawa.
"Saya terduduk di sisinya seperti tidak percaya melihat jasad yang berlumuran darah itu adalah bapa saya sendiri. Lebih menyedihkan, apabila pihak polis mengesahkan ayah sudah tiada.
"Malam tadi, adalah kali terakhir saya berjumpa dan berborak dengannya kerana ayah keluar awal rumah pagi ini sebelum kami semua bangun daripada tidur," katanya ketika ditemui di Unit Jabatan Forensik Hospital Tanah Merah di sini.
Nurbalaili mengakui risau dengan keadaan ibunya di rumah jika mengetahui apa yang berlaku, dia tidak mampu berjalan dan berharap kepada ayahnya setiap masa.
"Saya reda kerana ini adalah ketentuan daripada Ilahi, Insya-Allah jika semua urusan selesai, ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Merah di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Darah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff ketika dihubungi mengesahkan tentang kejadian terbabit berlaku pada 9.45 pagi.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam sebelum ke lokasi kejadian dan membawa jenazah ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.
Katanya, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan.