SEPANG: Dua beradik lemas manakala, seorang lelaki masih hilang di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang lemas dipercayai dua beradik berusia tujuh dan sembilan tahun manakala lelaki berusia 30-an yang masih hilang itu adalah orang awam yang cuba membantu menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit.
Menurut sumber, mangsa pertama adalah kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang ditemui terkapai-kapai ketika mandi dan diselamatkan oleh orang awam manakala mangsa kedua kanak-kanak perempuan ditemui terapung di kawasan perkelahan itu setengah jam kemudian.
"Mangsa pertama ditemui pada jam 2.30 petang dibantu orang awam dengan bantuan pernafasan kecemasan namun gagal manakala mangsa kedua dijumpai sekitar jam 3 petang namun ketika diselamatkan telah meninggal dunia.
"Kedua-dua mangsa dinaikkan oleh nelayan dan orang awam yang berada di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan usaha sedang giat dijalankan bagi mencari seorang lagi mangsa yang hilang.
Katanya, usaha menyelamat dijalankan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang," katanya.