Suami isteri dijemput Ilahi selang 34 minit

Berkongsi suka duka dalam melayari bahtera perkahwinan selama 56 tahun dan mahu bersama hingga ke 'negeri abadi.'

Itu hasrat terakhir seorang wanita warga emas yang menjadi kenyataan apabila dia turut dijemput Ilahi selepas 34 minit suaminya menghembuskan nafas terakhir akibat kanser tekak.

Norhani Sice, 71, meninggal dunia pada jam 10.54 pagi manakala suaminya, Zahari Mat Tahir, 77, pergi menghadap Ilahi pada jam 10.20 pagi, 12 Mei lalu.

Lebih memilukan arwah Norhani rebah di riba Zahari sejurus suaminya itu menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Kampung Tualang Sekah di sini, dengan disaksikan anak bongsu mereka, Ellyawati, 41.

Ellyawati turut berkongsi kisah itu di TikTok, baru-baru ini dan mendapat perhatian warganet yang turut bersimpati dengannya susulan kehilangan dua insan tersayang.

Ketika dihubungi Harian Metro, Ellyawati berkata, kehilangan dua 'syurga' dalam masa tempoh selang 34 minit nyata menyentap hatinya dan empat beradik lain berikutan ibu bapa mereka meninggal dunia secara hampir serentak.

Menurutnya, bapanya yang juga pesara tentera menderita kanser tekak tahap empat sejak Oktober tahun lalu dan kerap sesak nafas kebelakangan ini kerana saluran pernafasannya semakin sempit manakala ibunya menghidap penyakit darah tinggi.

"Pada pagi hari kejadian, abah sesak nafas dan saya yang tinggal di hadapan rumahnya membantu menggosokkan dada abah. Sejak sakit, abah memang kerap meludah dengan air ludahnya turut berdarah.

"Tetapi pada hari kejadian, dia meludah banyak penuh dua mangkuk. Abah kemudian dilihat semakin baik dan pergi membasuh mukanya sebelum duduk di sofa di ruang tamu.

"Mak pula ketika itu seperti biasa sahaja, malah sempat menyapu halaman sambil sekejap-sekejap masuk ke rumah melihat abah sebelum mak panggil saya untuk tengok abah sementara dia ke tandas," katanya dalam nada sebak.

Menurutnya, sebaik dia sampai di rumah ibu bapanya, dia melihat bapa kembali sesak nafas dan dadanya juga dilihat berombak selain warga emas itu turut meminta membawanya ke hospital.

"Mak duduk di sebelah abah pada ketika itu dan tidak lama kemudian, abah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kami dan tiba-tiba mak jatuh di riba abah serta tidak sedarkan diri.

"Ketika itu saya memang tidak keruan, tetapi saya sempat hubungi keluarga di kumpulan WhatsApp kami dan meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans, mak pula dijemput Ilahi," katanya.

Pasangan sehidup semati itu kemudian dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang Sekah di sini.

Ellyawati berkata, ibu bapanya mempunyai hubungan erat dan selalu menghabiskan masa bersama terutama ketika usia tua mereka, malah mengakui ibunya yang sebelum ini kurang sihat menjadi kuat demi memberi semangat kepada bapa yang disahkan menghidap kanser tekak.

"Arwah mak dan abah selalu bersama, ke mana sahaja mereka selalu pergi berdua. Kalau pergi berjalan dengan anak, mereka tidak mahu berpisah kereta dan mahu naik kereta yang sama.

"Sepanjang abah diuji dengan kanser, mak sentiasa bersama abah. Dia menguatkan dirinya untuk beri semangat kepada abah," katanya yang memberitahu ibu bapanya mempunyai lima anak berusia 41 hingga 52 tahun, 15 cucu dan seorang cicit.

Menurutnya, ibunya pernah memberitahu sepupunya yang dia mahu meninggal dunia bersama bapa pada Aidilfitri lalu dan mengakui dua insan tersayang itu juga ada memberi tanda sehari sebelum kejadian namun ia hanya disedari mereka selepas itu.

"Anak saya memang rapat dengan abah dan setiap hari akan pergi ke kedai bersama. Sehari sebelum kejadian, abah minta anak peluknya dan cakap selepas ini atuk sudah tak bawa ke kedai.

"Mak pula cakap dia mahu kemas rumah sebab esok ramai orang nak datang. Saya ingatkan itu biasa sahaja kalau ada tetamu atau orang kampung yang datang, namun saya dan empat beradik lain reda.

"Mak dan abah pergi pada penghulu hari, Jumaat dan abah sudah tidak menanggung sakit lagi.

"Mungkin kalau mak ada, dia akan menanggung rindu pada abah, tetapi sudah takdir mereka pergi bersama," katanya.

Previous Post Next Post

Contact Form