PORT DICKSON - Selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dua tahun lalu, kini empat beradik yatim piatu diuji sekali lagi apabila abang sulung yang menjadi tempat bergantung pula meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Jimah Power Plant di sini pada Selasa.
Kejadian jam 8.20 pagi itu berlaku selepas motosikal ditunggang Muhammad Haidir Rodzi, 25, merempuh bahagian belakang sebuah lori skylift.
Menurut adik Allahyarham, Nurhairieka, 20, fikirannya seolah-olah kosong apabila diberitahu abangnya telah meninggal dunia, ditambah pula ia menjelang sehari genap dua tahun pemergian bapanya.
"Saya sedang tidur waktu itu dan angah (abang kedua) kejut beritahu along (panggilan untuk Muhammad Haidir) dah tiada kerana kemalangan dengan lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Saya sebenarnya tak tahu nak cakap apa, rasa macam bermimpi pun ada kerana kini along pula tinggalkan kami.
"Nampaknya tanggungjawab saya lebih besar selepas ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di rumahnya di Bandar Sunggala di sini pada Selasa.
Ujarnya, kali terakhir mereka adik beradik berjumpa dengan Allahyarham adalah pada minggu lalu ketika dia datang ke rumah bersama isteri dan anaknya yang baharu berusia tiga bulan.
Pada waktu itu katanya, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik tetapi membawa makanan yang banyak untuk makan bersama.
"Sejak along kahwin, dia tak tinggal bersama kami. Meskipun begitu dia tak pernah lupa datang menjenguk kami.
"Saya boleh katakan dia memang abang yang baik dan telah tunaikan janjinya pada arwah ibu dan ayah untuk menjaga kami sehingga akhir hayatnya," katanya.
Sementara itu abang ipar Allahyarham, Muliadi Muslim, 46, turut menyifatkan Muhammad Haidir sebagai suami dan adik yang baik dan tidak pernah lupa amanahnya terhadap keluarga.
Paling meruntun hati katanya, hasrat Allahyarham untuk membeli kereta baharu untuk kegunaan adik beradiknya tidak kesampaian.
"Kereta peninggalan arwah ibu bapanya rosak. Jadi dia dalam proses menunggu kelulusan pinjaman bank tapi nampaknya ia tak kesampaian," katanya.
Pemergian Muhammad Haidir bukan saja ditangisi ahli keluarga tetapi juga rakan-rakan yang memenuhi rumah keluarga Allahyarham bagi melihat jenazahnya buat kali terakhir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa yang menunggang motsikal jenis Yamaha 135LC dan lori skylift berkenaan bergerak dari arah Lukut menghala ke Jimah Power Plant di Bukit Pelandok.
"Sebaik tiba di lokasi, lori berkenaan membelok ke kanan simpang menuju ke kawasan pembinaan, namun mangsa dari arah belakang telah merempuh bahagian belakang lori terbabit.
"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa alami cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Aidi Sham berkata, siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.