Remaja maut dalam perjalanan jemput ibu balik kerja

REMBAU – Seorang remaja maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam longkang di kilometer satu, Jalan Pedas-Linggi, dekat Kampung Batu 1, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Nur Ain Maisarah Jefri, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kereta jenis Produa Myvi dalam perjalanan dari Pilin menghala ke Chembong.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke longkang di sebelah kanan. Akibat kemalangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian calitan diketahui. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd Khairul Ujang, 32, dari Taman Pedas Indah berkata, ketika kejadian sepupunya itu dalam perjalanan ke sebuah kilang di Chembong bagi menjemput ibunya, Nadia Abu Samah, 40an, yang sudah habis bekerja shif malam.

Menurutnya, sepupunya itu merupakan anak tunggal dan sangat manja dengan ayahnya, Jefri Safar, 50an.

“Arwah anak yang baik… setiap apa yang ayah dan ibunya kata, dia akan buat. Dalam kejadian ini, arwah tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya.

Previous Post Next Post

Contact Form