Anak maut, ibu cedera motosikal langgar tembok di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas motosikal yang ditunggangi ibunya terbabas sebelum melanggar tembok batu di bahu jalan di Jalan Song Ban Kheng, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Senior Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.45 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas. Dalam kejadian itu, penunggang motosikal iaitu wanita tempatan berusia 30 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Turut terlibat ialah tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga tujuh tahun yang dibonceng bersama. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala seorang kanak-kanak berusia lima tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Helmi berkata, semua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di hospital yang sama. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan, terutama melibatkan kanak-kanak.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi beberapa keping gambar yang memaparkan dua kanak-kanak perempuan berpakaian prasekolah kelihatan sugul melihat ibu dan adik mereka yang cedera parah.

Difahamkan, wanita berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar anak-anaknya ke sekolah sebelum motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terbabas.

Previous Post Next Post

Contact Form