Peniaga Online Akan Dikenakan Cukai Mulai 2017?

Kementerian Kewangan (MOF) sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan internet di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, MOF sudah mengarahkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.

Malah, katanya, pihak LHDN yang telah menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.

"Kita perlu mengenakan cukai terhadap mereka yang memperolehi pendapatan boleh dicukai.

"Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Sektor Awam - Pembaharuan Kewangan Bagi Pembangunan Ekonomi Asia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan berkata pihaknya juga berhasrat memastikan syarikat-syarikat perniagaan dalam talian untuk berdaftar dengan pihak SSM.

"Ini bagi membolehkan kita mengetahui jumlah pendapatan yang mereka perolehi," tegasnya.

Menurutnya, kajian oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan pendapatan pemandu teksi/kenderaan perkhidmatan Uber dan Grab boleh mencecah sehingga RM7,000 sebulan iaitu angka yang boleh dikenakan cukai.

Pendapatan bulanan boleh dicukai ketika ini adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000.
Previous Post Next Post

Contact Form