'Takkan Nak Tunggu Kami Mati, Baru Polis Nak Bertindak?' - Maria Farida

Hidup pelakon Maria Farida kini tidak tenteram apabila menerima pelbagai ugutan, termasuk disimbah asid, tetapi mendakwa polis tidak menyiasatnya.

Maria berkata ugutan itu menyebabkan dirinya dan suami Datuk Rahman Shakur terpaksa mengupah pengawal peribadi, selain membawa perkara itu ke mahkamah.

"Dulu saya pernah diugut simbah asid, serta bermacam-macam lagi. Diakui memang saya takut sebab itulah kena ada orang yang mengawal keselamatan selain suami.

"Sekarang ini kami menunggu kes diuruskan peguam dan berharap mendapat semula keamanan dan ketenteraman kami sekeluarga," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.

Maria pada 6 Mei lalu memfailkan saman terhadap seorang wanita kerana tidak tahan menerima ugutan dan fitnah melalui mesej dan media sosial sejak tahun lalu.

Pelakon “Bisikan Cinta” itu juga berkata beliau dan suami sudah membuat kira-kira 50 aduan polis secara berasingan, namun kecewa dengan reaksi daripada polis.

"Ini satu lagi masalah. Setiap kali kami membuat laporan atas ugutan atau fitnah, polis memberi alasan ia adalah masalah rumah tangga dan sukar untuk mereka masuk campur.

"Suami amat kecewa dengan sikap berkenaan. Takkan hendak tunggu kami mati baru ada siasatan terperinci dijalankan?” katanya lagi kepada akhbar itu.

"Kami sedar ia memang masalah rumah tangga, tetapi sudah melampaui batas, masakan polis tidak boleh ambil apa-apa tindakan?

“Kami amat berharap polis serius dalam menangani masalah ini kerana keselamatan kami terancam."

Maria, 45, dan Rahman, 62, berkahwin pada 26 November tahun lalu selepas setahun berkenalan.
Previous Post Next Post

Contact Form