Bayi Lelaki Ditemui Dalam Surau Di Setapak Jaya

Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan dalam sebuah surau di Setapak Jaya, Wangsa Maju, di sini, tengah hari semalam.

Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain batik oleh jemaah surau selepas selesai solat Zuhur kira-kira jam 1.45 tengah hari, sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata bayi itu ditinggalkan berhampiran tiang dalam surau berkenaan dan dipercayai berbangsa Melayu.

Beliau berkata, tiada barangan lain ditemui bersama bayi itu dan polis tidak menolak kemungkinan dia dilahirkan di rumah sebelum ditinggalkan di surau terbabit.


"Saksi tidak melihat sesiapa di kawasan surau itu dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan itu.

"Bayi cukup sifat itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pemeriksaan pihak hospital mengesahkan bayi berkenaan dilahirkan tidak cukup bulan dengan panjang 40 sentimeter dan berat 1.4 kilogram (kg)," katanya.

Mohamad Roy berkata, ibu bayi terbabit masih dikesan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Previous Post Next Post

Contact Form