Bayi Setahun Lemas, Bapa Tak Sedar Ditinggal Dalam Kereta

Seorang bayi berusia setahun maut dipercayai akibat lemas selepas ditinggalkan di tempat duduk belakang kereta bapanya selama kira-kira lima jam di Saleng, Kulai hari ini.

Ketua Polis Kulai Superintendan Razak Md Said berkata, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada pukul 4.15 petang.

Razak berkata menurut lelaki berkenaan, isterinya meletakkan anak perempuannya di tempat duduk belakang kereta untuk dihantar ke nurseri yang terletak berhampiran rumah pasangan itu di Bandar Putra pada pukul 9.30 pagi.

"Kira-kira 10 pagi, lelaki terbabit terus ke tempat kerja dan berkerja di Pekan Saleng tanpa menyedari bayi berkenaan masih berada di bahagian belakang kenderaan miliknya," ujarnya.

Beliau berkata, pada jam 3 petang, bapa bayi itu menerima panggilan telefon daripada pengasuh kanak-kanak itu yang bertanya mengapa dia tidak menghantar anaknya ke nurseri seperti biasa.

"Dia kemudian terus ke kereta miliknya dan mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dan dipercayai sudah meninggal dunia," katanya seperti dilapor Harian Metro.


Razak berkata lelaki itu kemudian bergegas membawa anaknya ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim di mana pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan kematian bayi berkenaan.

"Bedah siasat akan dijalankan pada pukul 10 pagi esok untuk mengetahui punca kematian," kata Razak.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak hingga mengakibatkan kematian.
Previous Post Next Post

Contact Form