'Jika Singgah Di Livermore, Jangan Lupa Ziarah Baba' - Dr Huda Haron

"Sesiapa yang singgah di Livermore, jangan lupa ziarah baba ya," demikian pesanan anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din selepas selesainya upacara pengebumian ayahnya yang tercinta hari ini.

Jelas, Dr Huda Haron jasad Mursyidul Am Pas itu, disemadikan dengan sempurna oleh orang-orang sekeliling walaupun tempat persemadian ayahnya bukan di tanah air sendiri.

"5.51 PM Livermore, California.6.51 AM Malaysia. Alhamdulillah tempat rehat baba dan bersemadinya jasad baba yang mulia,

"Sempurna dengan bantuan insan-insan yang membantu tanpa soal jawab dan tak mengira apa jua. Terima Kasih dari kami sekeluarga," katanya menerusi catatan di Facebook rasmi Datuk Dr Haron Din.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore California Amerika Syarikat, di atas amanat beliau sendiri yang mahu disemadikan ditempat di mana beliau meninggal dunia.

Sebelum itu, jasad Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid An Noor Santa Clara pada jam 11.40 pagi (2.40 pagi waktu Malaysia).

Solat jenazah pula dilakukan selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.21 petang (5.21 pagi waktu Malaysia) di Masjid Muslim Community Association yang diimamkan sendiri anak lelakinya, Hamidi Haron.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Universiti Stanford Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.

Sementara solat jenazah ghaib dilaksanakan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi ini.
Previous Post Next Post

Contact Form