Nahas Go-Kart: Abang Sulung Mangsa Reda, Mahu Saman Penganjur

Keluarga mangsa rempuhan go kart yang mengorbankan Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya, Nur Zulaikha,5, reda dengan insiden yang menimpa.

Abang sulung arwah Izwan, Rahim Isa, 56, berkata, mereka semua terkejut dan amat sedih dengan tragedi tersebut.

Bagaimanapun katanya, keluarga reda dengan pemergiaan Izwan yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik itu.

"Kami semua dalam keadaan bertenang dan menerima takdir ini.

"Dalam masa sama...mungkin akan meneliti tindakan selanjutnya yang boleh diambil,"katanya ketika ditemui selepas pengebumian dua jenazah itu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, malam tadi.

Rahim berkata, dia akan merujuk dengan pihak berkaitan sama ada wajar mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur.

Dua beranak itu maut akibat rempuhan kenderaan jenis go kart ketika perlumbaan berlangsung dalam Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMRACE) di Indera Mahkota.

Kejadian berlaku ketika perlumbaan berlangsung di litar terbuka berhampiran Kompleks Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) , di sini.

Mangsa bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah syarikat di Gebeng maut di lokasi kejadian manakala anak perempuannya Nur Zulaikha berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ketika mendapatkan rawatan.

Anak lelakinya,Muhammad Izz Daniel,7, yang cedera dirawat di HTAA.

Sementara isterinya Siti Suhaiza Seman,38, bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama sejak 2008 mengalami kecederaan ringan.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 11 malam.
Previous Post Next Post

Contact Form