'Mudanya Baby Awak Seawal 51 Hari Dah Jadi Perokok'

Assalamualaikum ibu-ibu semua. Saya nak kongsi pengalaman sendiri yang banyak mengajar kami suami isteri.

Bila doktor kata, "bayi awak dah jadi seorang perokok di usia 51 hari", ibu mana yang tak tersentap apabila mendengar doktor berkata sedemikian?

Ceritanya begini, seminggu sebelum balik ke kampung sempena Raya Haji, baby Imraz asyik selsema, batuk berkahak, muntah selepas menyusu sehingga nak bernafas. Saya risau, semakin hari keadaannya semakin teruk. Kemudian saya dan suami mengambil keputusan untuk membawanya ke Jabatan Kecemasan di Hospital Putrajaya pada waktu petang selepas suami habis kerja.

Apabila tiba giliran kami, doktor wanita yang mengambil kes kami. Bila periksa paru-paru dan segalanya, semuanya okay dan berat pun okay. Imraz tak demam, cuma tekak ada sedikit merah tetapi tak teruk. Jadi, doktor beri ubat untuk titis di hidung sahaja.

Sebelum pulang, baby Imraz disuruh menyedut gas + garam mineral untuk membuatkan rongga hidungya terbuka agar dia senang bernafas. Allah saja yang tahu betapa runtunnya hati saya melihat anak di pangkuan menangis sampai tak bersuara. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk anak saya. Hati kena kental!

Namun, hari demi hari berlalu Imraz masih belum sembuh. Balik dari kampung, keadaannya bertambah teruk. Masa itu sampai di rumah jam enam lebih, dekat dengan waktu maghrib.

"Jom bawa baby pergi hospital, dia dah mula bantuk. Selsema pun semakin teruk dan sudah mula muntah-muntah. Menyusu pun sekejap, tak seperti kebiasaan," pinta saya pada suami.

Selepas maghrib, kami terus pergi ke Jabatan Kecemasan. Bila berada dalam bilik doktor (Doktor Cina):

Doktor: "Yes, siapa sakit dan sakit apa?"

Saya: "Baby saya batuk berkahak, selsema dan muntah susu,"

Doktor: "First saya nak tanya, suami puan merokok tak?"

Saya: "Ya, tetapi dia merokok jauh dari rumah dia. Di luar rumah."

Suami: "Ya, tetapi saya merokok jauh dari dia. Di luar rumah"

Doktor: "Jadi, tiada penyebab lain. Kerana rokok juga walaupun you merokok jauh atau bukan di depan dia. You fikir asap rokok itu akan pergi jauh-jauh ke? Your baby still can get. Baby berapa bulan?"

Saya: "51 hari,"

Doktor: "Wah! Mudanya your baby seawal 51 hari sudah menjadi seorang perokok. Your baby tak demam kan?" sambil mengusap kepala Imraz.

Saya: "Tak, dia batuk dan selsema saja tetapi suhu badan okay,"

Suami: "Betul ke disebabkan rokok?"

Doktor: "Yes! I nak tanya you merokok tak sakit tekak ke? Cuba tengok orang yang tak merokok tetapi apabila tersedut asap rokok mesti terbatuk-batuk kan? Macam itulah dengan baby juga. You tak merokok depan dia tetapi selepas merokok, you kiss your baby, you angkat dia, kemudian asap-asap rokok yang melekat di rambut, janggut, pakaian dan badan itu semua baby boleh hidu dan ia adalah amat berbahaya!

"Kalau you nak angkat baby you dengan syarat. Selepas merokok, you kena mandi, tukar baju lain setiap kali you nak dekat dengan baby."

Kami saling berpandangan. Mata saya menjeling pada suami dengan perasaan geram dan marah sebab sebelum ini saya dah pernah membebel hal ini tetapi dia tak nak dengar!

Doktor: "Let me check your baby. Suhu badan okay, paru-paru okay, tapi bila check tekak, merah. See dia punya tekak merah, sebab itu dia kurang menyusu sebab dia tak boleh menelan dengan baik. Tengok air liur pun dia keluarkan."

Saya: "Doktor, aircond pun salah satu punca ke?"

Doktor: "Yes. Kalau boleh tak payah gunakan aircond dulu."

Jadi kepada ibu-ibu yang mempunyai suami kaki perokok, tolong pesan pada mereka siap-siap kalau sayangkan anak.

Selepas balik dari hospital, saya terus menangis-nangis dalam kereta sebab tidak sanggup nak melihat anak saya sendiri sakit berhari-hari. Menangis sambil membebel pada suami.

"Itulah dulu saya cakap tak nak dengar. Siap cakap anak orang lain okay saja, tak ada masalah. Tolonglah jangan samakan anak orang lain dengan anak kita. Antibodi setiap anak itu berbeza,"

Suami? Menyalahkan diri sendiri sebab tak nak dengar nasihat saya sebelum ini. Sekarang, suami dah kurangkan merokok dan follow 100% apa yang doktor pesan. Nak berhenti merokok secara mengejut, mungkin mustahil.

Kini, baby Imraz sudah pun sihat sepenuhnya. Memang tindakan suami itu sangat membantu kesihatan anak kami.

Sepekara lagi, kalau anak-anak kecil anda tidak sihat, tolong cepat-cepat bawa pergi ke hospital. Saya lebih prefer ke emergency sebab doktor di situ akan buat pemeriksaan lebih details dari klinik yang cuma membuat pemeriksaan secara biasa bagi ubat makan kemudian bayar di kaunter. Tak kisahlah tunggu lama mana pun, yang penting tahap kesihatan bayi kita.

Semoga menjadi ikhtibar untuk kita semua, para ibu-ibu newbie seperti saya. Assalamualaikum - Azyeen Shazriyani Samad
Previous Post Next Post

Contact Form