30 Syarikat Besar Elak Bayar Cukai RM1.9 Bilion

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 30 syarikat besar melakukan pengelakan cukai membabitkan RM1.9 bilion.

Difahamkan, LHDN telah hampir selesai menjalankan pengemaskinian ke atas sekurang-kurangnya 10 syarikat terbabit, dengan jumlah cukai dielakkan termasuk penalti berjumlah RM900 juta, manakala 20 lagi turut dikesan cuba melakukan pengelakan cukai membabitkan RM1 bilion, termasuk jumlah penalti.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah ketika memberitahu Nanyang Siang Pau berkata, antara syarikat terbabit dalam perbuatan itu termasuklah sektor hartanah, perladangan dan institusi kewangan.


Beliau menasihatkan perunding cukai sama ada dalam syarikat ataupun penasihat syarikat tidak melakukan jenayah, yang memungkinkan mereka menerima hukuman penjara.

"Perunding cukai yang bersalah melakukan jenayah boleh didakwa di bawah Seksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"LHDN boleh mempertimbangkan untuk menarik balik atau tidak melanjutkan kelulusan sebagai perunding cukai di bawah Seksyen 153 akta tersebut," katanya.

Katanya, LHDN turut sedang menyiasat enam firma yang berpangkalan di negara ini kerana didapati bersekongkol dengan syarikat itu dalam merancang dan menyediakan struktur pengelakan cukai sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada negara.
Previous Post Next Post

Contact Form