Bank Stanchart Laksana Cuti Bersalin 20 Minggu Bergaji Penuh

Kuala Lumpur - Standard Chartered Bank Malaysia (Stanchart), hari ini mengumumkan pelaksanaan cuti bersalin 20 minggu bergaji penuh.

Manfaat lebih baik itu dan yang pertama seumpamanya dalam industri perbankan, adalah sebahagian daripada langkah penambahbaikan pada manfaat pekerja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Stanchart berkata, bagi merealisasikan budaya mesra keluarga bank itu, pekerja lelaki juga akan menikmati cuti dua minggu jika isteri bersalin, manakala ibu bapa angkat baharu juga berhak mendapat cuti dua minggu dan bergaji penuh.

Manfaat itu merangkumi semua pekerja bank berkenaan, tanpa mengira tempoh perkhidmatan.

Stanchart menambah, bank itu juga akan melaksanakan amalan kerja fleksibel.

Kakitangan ditawarkan pilihan untuk bekerja separuh masa, memilih waktu kerja anjal atau bekerja dari rumah pada hari terpilih, tertakluk pada tugasan mereka selepas memperoleh kelulusan daripada pengurus.

Ketua Sumber Manusia, Florence Foo, berkata Stanchart sentiasa berusaha untuk menambah baik kebajikan kakitangan, selain mengekalkan dan melatih pekerja.

"Kajian dalaman dijalankan menunjukkan motivasi pekerja meningkat setelah mereka memperoleh sokongan lebih baik dalam integrasi kehidupan profesional dan peribadi mereka," katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form