Pegawai Imigresen Didakwa Rogol, Paksa Tukang Urut Lakukan Seks Oral

Alor Gajah - Seorang pegawai Imigresen Melaka dihadapkan ke Mahkamah Seysen Alor Gajah, hari ini, atas tiga pertuduhan merogol, melakukan seks oral dan mengugut seorang tukang urut warga Thailand pada 9 Mac lalu.

Tertuduh, Chua Siong Kiat Frankie, 31, yang berasal dari Pasir Mas,Kelantan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Pada pertuduhan pertama, tertuduh yang mengenakan cermin mata dan berbaju kelabu didakwa merogol seorang wanita warganegara Thailand dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Selain itu, Frankie turut didakwa mengugut mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan jenayah itu dilakukan sekitar jam 1 hingga 1.15 petang di dalam bilik pemeriksaan badan wanita, pejabat penerimaan, Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini pada tarikh yang sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin memohon tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin namun mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 dan 9 Mei untuk mengambil keterangan mangsa bersama lantikan jurubahasa Thailand.

Pada 22 Mac lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota jabatan imigresen negeri ketika proses rakaman percakapan dilakukan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah di sini, 9 Mac lalu.
Previous Post Next Post

Contact Form