SEGAMAT - Imam Masjid Jamek Pasir Pelangi di Johor Bahru, Nur Nikman Yusof, meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Li Chi dekat Kampung Abdullah di sini, malam tadi.
Difahamkan, Allahyarham juga mantan Imam Masjid Bandar Labis rebah secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia.
Rakannya, Mohamad Abdullah, 49, yang pernah bertugas bersama Nur Nikman sebagai imam di Masjid Bandar Labis, dan menyifatkan arwah seorang imam ratib yang berdedikasi menjalankan tugas serta amanahnya.
"Lewat malam tadi, saya mendapat perkhabaran duka dan menyedihkan, rakan imam yang sama pernah berkhidmat di Masjid Bandar Labis, Ustaz Nur Nikman meninggal dunia.
"Dia rebah selepas bermain badminton dan tidak berjaya dipulihkan serta disahkan meninggal dunia," katanya ditemui di Labis di sini, hari ini
Katanya, Nur Nikman berasal dari Pokok Sena, Kedah dan dengan usaha serta sumbangan jasanya yang turut aktif menjadikan masjid Labis pusat aktiviti pengajian Islam dan al-Quran
Di Masjid Bandar Labis, beliau mengajar jemaah membaca al-Quran, tajwid dan taranum.
"Sepanjang saya bersamanya, arwah adalah seorang imam ratib yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugas serta amanahnya, disenangi masyarakat setempat dan kehidupannya banyak dihabiskan dengan al-Quran.
"Difahamkan, arwah pulang ke kediaman isterinya dekat Felda Tenang di sini, sebelum meluangkan masa untuk bermain badminton," katanya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.15 malam dan sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sukan itu terbaring di lantai.
Menurutnya, pemeriksaan pada mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai Nur Nikman Yusof, 40an dan maklumat dari saksi memaklumkan mangsa sempat bermain badminton set pertama bersama rakannya sebelum ditemui terjatuh dalam tandas.
"Rakan mangsa dikatakan mendengar bunyi jatuh yang kuat dari tandas dan arwah ditemui luka di dahi dipercayai rebah serta tidak sedarkan diri.
"Seorang pemain yang berada di lokasi kemudiannya menghubungi Paramedik Hospital Daerah Segamat (HDS)
"Pemeriksaan petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Jenazah dibawa pulang ke kampungnya di Pokok Sena, Kedah dari Masjid Bandar Labis di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dengan van jenazah usai solat jenazah yang dihadiri kira-kira 200 kenalan dan ahli keluarga.