ALOR GAJAH: Seorang wanita tidak menyangka mayat ditutup surat khabar yang dilihat di lokasi kemalangan di Jalan Air Tanai, Air Paabas, di sini, pagi tadi, sebenarnya anak kandungnya sendiri.
Rusita Aris, 54, berkata ketika itu dia dalam perjalanan untuk menghantar jiran ke sekolah ketika kenderaan dipandunya melewati lokasi kemalangan maut itu.
"Masa lalu di jalan itu saya dah perasan ada mayat ditutup surat khabar. Hati rasa berdebar-debar, tapi saya tak berhenti kerana nak cepat sebab nak hantar anak jiran ke sekolah," katanya.
Dalam kejadian itu, 54, anak kedua Rusita, Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel, 14, maut selepas motosikal Modenas Kriss ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta kira-kira jam 6.20 pagi tadi.
Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Tengah Melekek, di sini, menuju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Talib Karim.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Rusita yang juga ibu tunggal berkata, anaknya baru sebulan bertukar ke sekolah itu dari SMK Seri Kota dan selama ini dia memang menghantar arwah yang mesra disapa 'Acik' ke sekolah menaiki kereta.
"Arwah cakap tak mahu susahkan saya ulang alik kerana dia balik lewat hari ini, jadi dia nak pergi sendiri naik motosikal.
"Saya sempat tegur kenapa keluar awal sangat kerana jam baru 6.15...selepas solat Subuh, dia terus pergi (ke sekolah) dan itulah kali terakhir saya melihatnya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah.
Rusita berkata, dia hanya menyedari kemalangan menimpa anaknya kira-kira jam 7 pagi ketika berhenti di lampu isyarat merah apabila seorang jiran memaklumkan mengenai melalui telefon.
"Arwah tidak menunjukkan perubahan ketara, cuma dalam dua tiga hari ini saya perasan dia bercakap dengan lembut dan mesra dengan adiknya.
"Di SMK Seri Kota dulu dia duduk di asrama dan aktif dalam sepak takraw. Saya tak pasti kenapa dia beriya-iya minta ditukarkan seminggu sebelum cuti sekolah lalu dan saya usahakan juga pertukaran sebulan lalu," katanya yang mempunyai dua lagi anak lelaki berusia 21 dan 10 tahun.
Jenazah Muhammad Khiesyam akan disemadikan Tanah Perkuburan Islam Solok Jenuang di Ayer Molek, berhampiran kubur bapanya yang meninggal dunia akibat kencing manis kronik enam tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan mendapati kenderaan jenis Honda CR-V dipandu pekerja kilang berusia 60 tahun dari arah Masjid Tanah menghala Alor Gajah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung motosikal ditunggang mangsa dari arah Alor Gajah menghala Air Paabas.