Harga Petrol & Diesel Naik 4 Sen Minggu Terakhir Mei

Kuala Lumpur - Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan untuk tempoh seminggu berikutnya menyaksikan kesemua jenis minyak naik sedikit empat sen.

Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk RON 95 kini menjadi sebanyak RM2.12 seliter berbanding sebelumnya iaitu RM2.08 seliter.

Manakala siling harga untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula ditetapkan kepada RM2.40 seliter juga naik empat sen dibandingkan sebelumnya iaitu RM2.36 seliter.

Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan menjadi RM2.03 seliter iaitu menokok empat sen berbanding RM1.99 seliter ketika sebelumnya.

Stesen penyiaran awam tersebut melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum itu bermula dari pukul 12.01 tengah malam 25 Mei sehingga 11.59 malam 31 Mei depan.

Mulai Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983.

Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula pada awal Disember 2014 lalu.

Namun pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan pendek.
Previous Post Next Post

Contact Form