(4 Gambar) Bayi Lelaki Dibuang Ditemui Lemah, Digigit Semut

Kota Kinabalu - Seorang bayi lelaki baru dilahirkan ditemui dengan kesan gigitan semut di bahagian mulut dan tepi mata berhampiran gerai cendol dan cucur udang di Jalan Salut dekat sini, tengah hari tadi.

Bayi itu yang dalam keadaan lemah ditemui dalam sebuah beg kain oleh pemilik gerai selepas melihat ia bergerak-gerak seperti ada sesuatu di dalamnya kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata peniaga itu kemudian mengalihkan bayi berkenaan ke tempat redup ketika ditemui ia diletakkan di kawasan panas.

"Bayi itu dijumpai dalam beg tidak berzip dan dibaluti dengan kain di bahagian tubuhnya.

"Ketika itu bayi dalam keadaan lemah dan sudah tidak bersuara kerana tiada bunyi tangisan, namun selepas pemeriksaan bayi lelaki terbabit disahkan dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Tuaran, " katanya hari ini.

Berikutan itu, Chandra meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Shajida Shara di talian 017-7240402 untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Previous Post Next Post

Contact Form