DAP Dalang Sebenar Isu Bazar Ramadhan Kluang - Exco

Kluang - Kekecohan yang berlaku di Bazar Ramadan Bandar Kluang dipercayai taktik DAP untuk memprovokasi serta membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata insiden kekecohan turut berlaku di bazar sama tahun lalu ketika DAP mahu memberi sumbangan kurma, seolah-olah sengaja mahu menguji kesabaran masyarakat serta peniaga Melayu dan tidak belajar daripada pengalaman lalu.

Md Jais yang juga Setiausaha UMNO Johor dan Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata, isu sebenar bermula pada 2007 apabila DAP meminta Bazar Ramadan Bandar Kluang dipindahkan dari kawasan sedia ada ke kawasan lain, sehingga menimbulkan bantahan dan kemarahan peniaga Melayu.

Katanya, episod itu masih kekal dalam ingatan masyarakat Melayu Kluang, sehingga beberapa rayuan dibuat kepada Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Abd Ghani Othman bagi membatalkan arahan itu.

Beliau berkata, adalah tidak adil melabel orang lain sebagai samseng hanya dengan memviralkan video tanpa mengetahui perkara sebenar yang terjadi.

"Selepas menjadi dalang utama mahu menghalau peniaga Melayu berniaga di bazar yang terletak di pusat bandar Kluang itu, sekarang mereka datang pula ke lokasi sama. Apa motif DAP sebenarnya?.

"Sudah pasti kedatangan DAP dan pembangkang ke situ membangkitkan kemarahan masyarakat serta peniaga Melayu yang masih terluka dan terkesan dengan usaha mahu menghalau mereka daripada berniaga di situ.

"Ini semua adalah perangkap dan mainan politik DAP yang memang mahu pecah-belahkan orang Melayu.

"Padahal urus setia bazar juga sudah menasihatkan DAP dan anggota pembangkang supaya mengagihkan sumbangan kurma mereka ke kawasan lain, namun mereka berdegil dan tidak mengendahkan nasihat yang diberikan.

"Jadi siapa sebenarnya yang memulakan provokasi?," katanya kepada BH.

Md Jais berkata, kekecohan sebenarnya boleh dielakkan jika DAP dan pembangkang menggunakan budi bicara dan berbincang secara baik dengan urus setia bazar.

Tengah hari tadi, polis menahan dua lelaki yang menimbulkan kekecohan dan provokasi di Bazar Ramadan Bandar Kluang, sebelum membebaskan mereka atas jaminan polis selepas keterangan diambil.

Video tindakan provokasi berkenaan viral di media sosial sejak malam tadi apabila ia dimuat naik ke Internet dan mendapat kecaman ramai, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai tindakan yang perlu dikecam.

Dalam insiden berkenaan, enam lelaki dikatakan membuat provokasi termasuk menghalau beberapa anggota pembangkang yang sedang mengedarkan sumbangan kurma kepada orang ramai.

<
Previous Post Next Post

Contact Form