Sarawak Umum Keluar Dari Lembaga Pelancongan Malaysia

Sarawak mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri berpendapat penyertaan dalam lembaga itu mempunyai pertindihan tugas serta peranan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Keputusan berkenaan diumum sehari selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri "setahun jagung".

Kenyataan Nazri itu dibuat sebagai reaksi beliau kepada gesaan Abdul Karim agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Karim turut menyebut mengenai Perjanjian Malaysia dalam meminta cukai itu ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.

Nazri bagaimanapun berkata, Karim tidak memahami perkara itu apabila mengatakan cukai berkenaan seharusnya menjadi urusan negeri.

"Tak payahlah bangkitkan agreement tu. Kami tahulah," kata Nazri kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa di Dataran Merdeka semalam.

Sambil menegaskan bahawa cukai baru itu sebahagian daripada cukai persekutuan, Nazri berkata kerajaan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai cukai kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Bila jadi cukai federal tak berbangkit soal kita rampas hak Sarawak," katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form