Pengarah Kemas Didakwa Rasuah RM160,000 Bekal Barang Tadika

Alor Setar - Pengarah Pembangunan Komuniti, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Putrajaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua tuduhan menerima rasuah kontrak pembekalan Tabika dan Taska bernilai RM159,053.22.

Tertuduh, Mohd Adnan Md Daud, 54, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan itu sejurus ia dibacakan di depan Hakim Azman Abu Hassan dan memohon untuk dibicarakan.

Tuduhan pertama, Mohd Adnan dituduh memperoleh rasuah RM73,000 daripada Sah Hizam Halim sebagai upah membekal susu tepung fasa tiga Tabika/Taska PERMATA kepada Syarikat Perniagaan Naluri Pertama dan membekal serbuk malt coklat Tabika/Taska PERMATA kepada Syarikat Alpha Elite Resources.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Alor Setar, di sini, pada 14 Disember 2016.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Adnan dituduh menerima rasuah RM86,053.22 daripada individu sama sebagai upah membabitkan kontrak pembekalan pelbagai barangan seperti biskut krim, makanan tambahan susu tepung dan bijirin kepada lima syarikat yang semuanya dimiliki dan dalam kawalan Sah Nizam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Alor Setar, di sini, pada 7 Januari 2015.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, Mohd Adnan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hadi Ahmad.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dan menetapkan 31 Julai ini sebutan semula kes.
Previous Post Next Post

Contact Form