'Saya Jual Arnab Panggang, Bukan Kucing' - Peniaga

Juadah yang disediakan seorang peniaga makanan eksotik di bazar Ramadan di Setiu menarik perhatian warga internet apabila arnab goreng yang dijual disangka haiwan peliharaan lain.

Ada yang menyangka juadah itu kucing atau anjing dan melemparkan rasa marah serta kecaman kerana melakukan perbuatan kejam.

Ada juga yang bersimpati dengan nasib haiwan berkenaan yang dijual dengan masih berkepala.

“Rasa sangat hendak makan tapi dalam kepala [fikiran] ini ingatkan kucing,” kata pengguna Facebook Amil Alias Abdullah yang meninggalkan komen dalam laman Gabungan Anak Terengganu.



Namun Mohd Ebbie Shafiran, pemilik gerai jualan itu di bazar Kampung Guntong Luar, menjelaskan makanan itu arnab panggang yang dijual terhad, berharga antara RM25 hingga RM30 seekor.

“Jangan kecam saya. Saya jual arnab saja, barang halal bukan barang haram,” katanya dalam Facebook.

Juadah eksotik itu mendapat perhatian ramai apabila diiklan di laman Facebook beberapa hari lalu untuk tempahan awal.

Beliau selalunya menyediakan hidangan tersebut sekitar jam 4 petang.
Previous Post Next Post

Contact Form