Suspek Tikam Teman Wanita Ditahan

Lelaki berusia 23 tahun yang menikam bekas teman wanitanya Hazwani Ismail, 23, di tepi jalan Taman Serindit, Jalan Langgar, Alor Setar, di sini, Isnin lalu ditahan polis di hadapan sebuah hotel di Pekan Rabu, Alor Setar 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, polis yang menerima maklumat suspek berada di kawasan terbabit bertindak mengesan sebelum berjaya menahannya di hadapan hotel terbabit.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

"Kita akan memohon reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa masih belum ditemui dan sedang mengenal pasti jenis senjata itu," katanya.

Dalam kejadian sebelum ini, Hazwani cedera parah ditikam empat kali di perut dan cedera di tangan serta lutut kiri selepas bergelut dengan bekas teman lelakinya, 23, di tepi jalan Taman Serindit, Jalan Langgar, di sini, dipercayai akibat tidak berpuas hati kerana hubungan mereka berakhir.

Hazwani bagaimanapun selamat menjalani pembedahan jam 4.30 pagi semalam akibat parah dan keadaannya kini dilaporkan stabil, namun masih trauma dengan kejadian serta enggan bertemu dengan sesiapa termasuk rakannya.
Previous Post Next Post

Contact Form